Bila Tiba Saat Ajal Baginda SAW
Rasulullah SAW telah mengetahui tentang ajalnya melaliu wahyu yang
diterima. Ucapan selamat tinggal oleh baginda SAW ketika Hajjatul Wada’
membuatkan hati-hati para Sahabat RA berdebar-debar, gelisah dan bimbang.
Apabila berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar, ternyata ajal yang
ditetapkan oleh Allah SWT tidak mungkin ditangguhkan. Para Sahabat RA menjadi
kacau-bilau. Madinah bergegar hebat. Ramai para Sahabat RA yang besar dan
mereka yang terdahulu memeluk Islam hilang kewarasan akalnya. Ada dikalangan
mereka yang lidahnya kelu. Ada yang jatuh lumpuh tak berdaya bergerak.
Umar al-Khattab pula menghunus pedangnya seraya melarang orang ramai
mengatakan Rasulullah telah wafat. Beliau mendakwa Baginda Rasulullah SAW
sekadar koma dan akan kembali semula kepada mereka.
Hanya Abu Bakar al-Siddiq seorang sahaja yang masih teguh jiwanya.
Beliau masuk menziarahi Rasulullah SAW sedang Baginda SAW kaku diselubungi
(selimut) di atas katilnya. Beliau lantas mengucup Baginda SAW seraya berkata:
“Aku tebus kamu dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah. Alangkah
eloknya kamu ketika hidup mahupun mati. Kematian yang Allah SWT suratkan
kepadamu telah kamu rasai. Kamu tidak akan ditimpa kematian lagi selepas ini
untuk selama-lamanya. Wahai Rasulullah, ingatilah kami di sisi Tuhanmu”.
“Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah mati.
Sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati”.
Kemudian dia membacakan firman Allah SWT:
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun
didahului oleh beberapa Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian,
kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah
menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia
tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan (sebaliknya)
Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan
nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali Imran : 144)
Apabila Abu Bakar RA membaca al-Quran tersebut, para Sahabat RA tersedar
daripada kejutan yang dahsyat itu. Merela seolah-olah tidak pernah mendengar
ayat tersebut sebelum itu. Kata Abu Hurairah: Umar berkata:
“Demi Allah, tidak terlintas firman Allah yang demikian melainkan
apabila aku mendengar Abu Bakar membacanya. Lantas aku terkejut dan kebingungan
sehingga aku terduduk ke bumi kerana kedua kaki ki tidak berdaya menanggungku.
Ketika itu aku tahu bahawa Rasulullah SAW telah mati.”
Kesedihan Mereka Bukti Kecintaan
Lihatlah! Betapa besarnya kecintaan para sahabat sehingga ketika
wafatnya baginda Rasulullah SAW, kesedihan para sahabat tidaklah terperi.
Namun, hakikat itu wajib diterima. Kewafatan Rasulullah SAW bukanlah membuatkan
mereka kufur. Mereka tetap terus mencintai Rasulullah SAW dan syariat yang
dibawanya. Hinggalah kita dapat merasai nikmat bersyariat yang telah dibawa
oleh baginda SAW.
Bagaimana pula kita? Adakah kita benar-benar mencintai baginda SAW? Apabila
melihat para sahabat Rasulullah SAW, tidakkah kita merasa kagum dengan Baginda
SAW? Adakah pengorbanan yang dilakukan Rasulullah SAW sehinggakan para sahabat
tidak keruan apabila mendengar berita kewafatan tersebut? Sudah tentu terlalu
banyak.
Setelah kita sering mendengar dan me,baca, tidakkah kita merasai bahawa
pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW juga adalah untuk maslahat
kita. Baginda sangat mengasihi kita dan mengambil berat terhadap kita.
Buktinya, Rasulullah SAW masih lagi melafazkan kalimah, “Ummati, ummati” yang
bermaksud, “Umatku, umatku” di saat-saat hampir ajalnya.
Oleh itu, kita harus membuktikan kecintaan kita dengan berusaha
bersungguh-sungguh melaksanakan syariat Allah yang telah disampaikan oleh
Baginda SAW. Bagaimana para sahabat, tabiin, tabi’ tabiin dan para ulama’ telah
berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan kebenaran yang Rasulullah SAW telah
sampaikan, begitu jugalah kita wajib menerima sepenuhnya, melaksanakan dan
menyampaikannya juga kepada yang lain agar nikmat Islam dan bersyariat ini
dapat dirasai bersama. Inilah bukti cinta kita.
Semoga tertanam rasa kecintaan kita kepada Rasulullah SAW tang telah
memperkenalkan kita kepada syariat yang sungguh mulia dam pemilik syariat yang
Agung, iaitu Pemilik Kecintaan yang Agung jua iaitu Allah SWT.
Cintailah Allah SWT dan Rasulullah SAW, sebagaimana para sahabat telah
membuktikan cinta mereka. Agar kita terus bahagia dan ditempatkan bersama yang
kita cintai di akhirat sana. Amin.
No comments:
Post a Comment