MEMBUKA LEMBARAN BARU!
Salam Sejahtera buat
pembaca budiman. Syukur kita masih mempunyai semangat proaktif, berjiwa besar
dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Pada kali ini, saya
ingin berkongsi berkaitan “mindsetting” sebagai penuntut ilmu. Ini
penting untuk menjadikan kita manusia yang hebat, luar biasa dan mampu menjadi
manusia berjiwa hamba kepada Allah SWT semata-mata!
KITA ADALAH HAMBA!
Sebagai penuntut ilmu,
kita adalah hamba Allah SWT dan matlamat utama kita “hadir” ke muka bumi ini
adalah berubudiyah kepada Allah SWT.
“Dan Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”
(Az-Dzariyat (51) :
(56)
Jika kita memahami,
merenungi, menghayati serta sedar akan hakikat ini, yakinlah kita adalah
manusia beruntung! Ini kerana Allah SWT menjadikan kita sebaik-baik kejadian.
Lihatlah kejadian
Allah SWT yang ada di sekeliling dan lihatlah diri kita. Allah SWT jadikan
pancaindera dengan fungsi-fungsi yang khusus dan tertentu. Mata untuk melihat,
telinga untuk mendengar dan akal untuk berfikir.
Di saat akal memerhati
dan melihat alam ciptaan yang terbentang luas ini secara tersirat dan tersurat,
ia bertujuan membawa segala pemerhatian dan usaha-usaha penemuan saintifik
tersebut untuk lebih mengenali siapa pencipta alam ini, siapa tuhan kita dan
siapa seharusnya menjadi hamba kita.
Justeru, jika inilah
yang menjadi corak pemikiran kita maka segala ilmu-ilmu yang kita timba dan
belajar saban hari melalui pancaindera kita akan membawa kita kepada tunjang
asal keilmuan iaitu mengenali Rabb kita yang sebenar. Ia akan membawa kita
untuk mengesakan Allah SWT, mengagungkannya dan meletakkan Allah SWT sebagai
penentu kehidupan.
MIND SETTING SEBENAR.
Mind setting
sebeginilah yang kita kehendaki. Ia mampu menghubungkaitkan segala ilmu yang
ditimba dan diperolehi dengan Allah SWT. Marilah melihat inti pati pesanan
Luqman al-Hakim kepada anaknya yang dirakam di dalam surah Luqman (31), bermula
ayat 13 sehingga 19.
“Luqman al-Hakim
berpesan, “Bersyukurlah kepada Allah SWT” dan “Jangan menyekutukan Allah SWT”.
Inilah inti pati utama
kehidupan kita dan sebagai penuntut ilmu. Penuntut ilmu itu harus mempunyai
peribadi yang tawaduk (merendahkan diri), Rabbani dan soleh walau apa jua
pengkhususan bidang yang diceburi. Jika hal ini tidak menjadi perkara dalam
kehidupannya, maka ia akan menyimpang daripada tujuan asal menuntut ilmu.