Tuesday, May 26, 2015

BIARKAN SEMALAM BERLALU



Lihatlah di sekeliling kita, segalanya tumbuh, membesar dan bergerak ke hadapan. Angin yang menghembus, sungai yang mengalir tidak pernah melawan arah melainkan sentiasa ke depan. Pohon-pohon juga terus membesar dan meninggi kecuali sebahagian darinya yang menemui kematian.

Ya, di sebalik pergerakan, pertumbuhan dan pertambahan itu adalah kematian sedangkan kehidupan itu sentiasa bergerak, tumbuh, membesar dan meninggi. Begitu juga dengan umur kita, semakin hari semakin bertambah bukan semakin berkurangan walaupun kita kumpulkan segala penyesalan dan tangisan.

Biarkan semalam berlalu dengan segala kenangannya, sama ada pahit ataupun manis. Biarkan matahari semalam terbenam dengan penuh kerelaan dan biarkan malam menyelimutinya dengan kegelapan supaya kita benar-benar menikmati keindahan pagi.






Katakan kepada kenangan pahit : “ engkau kini telah menjadi sebahagian dari masa silam ku dan aku tidak lagi akan menangisi mu dan membiarkan diriku terbelit dengan segala keresahan yang ada bersamamu, aku ingin menikmati keindahan pagi bersama fajar dan harapan baru. “

Katakan pula kepada kenangan manis : engkau bukan lagi milik ku, saat-saat kegembiraan kita telah berlalu dan aku sedang berdepan dengan saat yang lebih berharga dari diri mu iaitu saat-saat yang masih aku miliki untuk corakkan dengan harapan dan impian. “

Biarkan semalam berlalu kerana kita ingin menikmati hari ini yang sedang kita hadapi. Kita ingin menikmati keindahan pagi bersama seribu impian. Kita ingin menyemai benih harapan agar jiwa kita akan sentiasa segar dan mampu tersenyum melihat kehidupan. Kita ingin menanam pohon-pohon kebaikan sebanyak mungkin agar kita akan menuai buah-buah kebahagian apabila tiba waktunya nanti. 

Biarkan semalam terus berlalu kerana kita sedang menikmati saat-saat yang lebih bermakna untuk kita warnai dan kita corakkan, iaitu HARI INI, hari yang terbentang dan mataharinya bersinar dicelah gunung-gunung harapan.

Tidak mengapa untuk menyimpan kenangan tetapi sekadar hiasan yang menepati bahagian kecil dari kehidupan kita yang terbentang luas.

Letakkan kenangan manis kita di satu penjuru dan katakan padanya : “ tempat mu hanya di situ kerana aku ingin terus menerokai hari baru, sesekali kita boleh bercerita tetapi hanya untuk seketika. “

Letakkan kenangan pahit di satu penjuru yang lain dan katakannya :  terima kasih di atas semua pengajaran yang engkau ajarkan dan kini aku akan lakukan sesuatu yang benar dan lebih baik, aku ingin terus menatap matahari kehidupan ku sambil menyedut harapan baru dan engkau sedikit pun tidak berhak untuk mengurung jiwa ku. Biarkan aku bebas memilih kehidupan ku. "

Katakan pula pada hari esok : " engkau boleh terus menunggu kerana aku ingin menikmati hari ini sepuas ku. Pertemuan kita masih belum pasti, jadi aku ingin lakukan segalanya pada hari ini. Aku ingin melakukan amal yang terbaik dengan seikhlas hati ku seolah-olah kita tidak akan pernah bertemu. "





1 comment: